Lebih 85 peratus populasi dewasa telah divaksin

Iklan
Dr Adham ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lebih 85 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima vaksinasi lengkap Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga Rabu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan perkembangan itu, kerajaan yakin mampu mencapai sasaran semua populasi dewasa lengkap dos vaksin sebelum penghujung bulan Oktober.

Iklan
Iklan

"Melihat kepada pencapaian ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) optimis bahawa usaha yang sedang dilaksanakan dalam PICK sedang berjalan mengikut landasan dan perancangan yang ditetapkan.

"Sebagai langkah mempercepatkan proses vaksinasi, pihak CITF melalui Operasi Lonjakan Kapasiti telah berjaya memvaksinasi hampir semua penduduk dewasa di Lembah Klang," katanya ketika sesi pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian) tentang jangkaan yang pasti imuniti kelompok 80 peratus boleh dicapai.

Memperincikan tentang perkara itu, Dr Adham menjelaskan, sasaran berfokus dilakukan kementeriannya yang terkini adalah memastikan semua negeri mencapai sekurangnya-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Iklan

"Untuk makluman Yang Berhormat, Insya-ALLAH hari ini kita akan mencapai sasaran tersebut di mana status Sabah akan mencapai 60 peratus.

"CITF akan terus memberi tumpuan pengagihan bekalan vaksin ke negeri-negeri yang mempunyai bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi berdasarkan data semasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Melalui usaha berkenaan, Adham menegaskan, kerajaan percaya sasaran peralihan fasa melalui Pelan Pemulihan Negara dapat dipercepatkan.

Katanya, sebagai contoh pada Rabu (semalam), Perdana Menteri telah mengumumkan peralihan Fasa untuk Lembah Klang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3.