SHAH ALAM - Bank Rakyat melancarkan aplikasi perbankan mudah alih iRakyat bagi memperluas ekosistem perbankan digital kepada pelanggan.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, aplikasi baharu itu memberi keselesaan kepada pelanggan untuk mengakses akaun Bank Rakyat mereka dengan lebih pantas dan selamat melalui peranti mudah alih masing-masing.
"Selain memperluas ekosistem perbankan digital sedia ada, aplikasi perbankan mudah alih iRakyat juga mengikuti gaya hidup digital semasa dalam persekitaran pasca pandemik Covid-19 yang kebanyakan transaksi perbankan dilakukan secara dalam talian.
"Peningkatan terhadap penggunaan kemudahan e-payment dalam kalangan masyarakat juga salah satu faktor pendorong Bank Rakyat untuk merealisasikan inisiatif ini,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, melalui aplikasi perbankan mudah alih iRakyat, pelanggan dapat menyemak maklumat akaun seperti jumlah baki dan penyata akaun bagi Akaun Simpanan-i dan Semasa-i Elektronik, Akaun Deposit-i Berjangka, Kad Kredit-i, Pembiayaan-i serta Pajak Gadai-i pada setiap masa.
"Pelanggan juga boleh melakukan pindahan dana serta pembayaran bil melalui aplikasi ini yang turut menyokong urusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta kemudahan DuitNow,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pelancaran aplikasi itu menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam mencapai aspirasi digitalisasi bank untuk menawarkan sistem perbankan Islam berintegrasi yang lebih cekap dan berkesan dengan berpacukan teknologi terkini.
"Aplikasi iRakyat ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menggalakkan perbelanjaan digital atau transaksi tanpa tunai.
"Pelancaran aplikasi ini bakal meluaskan kebolehniagaan Bank Rakyat pada masa akan datang khususnya dalam menawarkan lebih banyak perkhidmatan baharu dalam ekosistem pembayaran digital,” ujarnya.
Aplikasi perbankan mudah alih iRakyat kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play Store bagi urusan perbankan harian.