BANDAR SERI ALAM - Wabak denggi yang melanda Johor Bahru semakin serius dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, daerah ini mencatatkan 2,000 kes bagi Januari dan Februari lalu yang meragut nyawa dua pelajar sekolah.
"Kawasan Bandar Seri Alam ini paling serius dengan 44 kes dilaporkan sejak Januari dan Februari.
"Ada dua mangsa dilaporkan maut iaitu seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dan pelajar lelaki berusia 14 tahun," katanya ketika membuat tinjauan di Pangsapuri Seri Ilham, di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau berkata, usaha pencegahan perlu dijalankan dengan serius memandangkan peningkatan kes yang membimbangkan.
"Isu ini adalah sangat serius, rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 163.6 peratus berbanding tahun lalu bagi tempoh sama (Januari dan Februari)," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon Seri Alam 1, Ku Chee Chen berkata, peningkatan kes berlaku disebabkan sikap komuniti yang tidak mengambil berat kebersihan kawasan persekitaran.
"Kita dapati sebahagian daripada mereka tak jaga kebersihan. Walaupun kita sudah jalankan gotong royong membersihkan semua kawasan yang berisiko, tapi tetap juga longkang itu akan sumbat kembali.
"Ada juga individu tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata," katanya.