RMK12: KPT perkasa pendidikan teknikal, TVET

Iklan
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR - Usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi yang menjadi antara fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan diperhebat melalui Agenda Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif PenarafanTunggal Program TVET dan platform berpusat bagi penawaran dan permintaan TVET (TVET Collaboration Hub, TCH) juga diperkenalkan selain kolaborasi antara industri dan akademia juga terus diperkukuh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, KPT terus komited memperkasa dan mensejahterakan pendidikan tinggi negara melalui usaha berterusan dalam RMK12 bagi meningkatkan kualiti penyampaian demi manfaat Keluarga Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau memberitahu, bagi mendokong usaha itu, KPT membangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025 sebagai ikhtiar untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan beberapa kemudahan di universiti awam turut dinaik taraf.

Iklan

Selain itu, pembangunan Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi yang bakal memberi nafas baharu kepada program-program pembangunan bakat di institut pengajian tinggi selaras norma baharu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

Menurut kenyataan itu, KPT juga menyantuni fokus kelima iaitu ‘Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan khususnya dalam usaha membantu meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40.

Iklan

Justeru, program dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan, di samping memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan.

Menyahut pentingnya pembangunan modal insan termasuk huffaz seperti yang dinyatakan di bawah fokus keenam iaitu ‘Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia’, kementerian berkenaan beriltizam memperkasakan latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya lebih ramai bumiputera menjadi pakar dalam pelbagai bidang dan menguasai kemahiran kerjaya masa hadapan.

Selain itu, di bawah fokus ketujuh, ‘Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak Dan Negeri-Negeri Kurang Membangun’, KPT akan memastikan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak disiapkan mengikut jadual bagi menyokong usaha meningkatkan penjagaan kesihatan di negeri terbabit.

RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19. - Bernama