28.1 juta penduduk sudah dibanci sehingga 29 September

Iklan
Mohd Uzir semasa memberikan status terkini banci Malaysia pada Khamis.

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan seramai 28.1 juta bersamaan 86.28 peratus rakyat Malaysia daripada anggaran keseluruhan 32.6 juta penduduk telah dibanci sehingga jam 12.30 tengah hari pada 29 September.

Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 26.6 juta adalah warganegara manakala selebihnya 1.4 juta bukan warganegara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tempat kediaman yang telah dibanci adalah sebanyak sembilan juta daripada 9.4 juta tempat kediaman.

"Nisbah jantina menunjukkan 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan di Malaysia. Penduduk lelaki mencatatkan 51.3 peratus lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.7 peratus.

Iklan

"Penduduk warganegara Malaysia pula terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera (69.4 peratus), Cina (23.1 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus),” katanya semasa memberikan status terkini banci Malaysia pada Khamis.

Mengulas lanjut, menurut beliau, Johor mencatatkan negeri yang tertinggi penduduknya dibanci dengan 104.9 peratus diikuti diikuti oleh Putrajaya iaitu 101.3 peratus, Negeri Sembilan (100.4 peratus), Kuala Lumpur (99.2 peratus), Perlis (95.0 peratus) dan Kelantan (93.8 peratus).

Iklan

Tambahnya, negeri Perak sebanyak 93.2 peratus, Pulau Pinang (92.8 peratus), Selangor (91.2 peratus), Melaka (88.2 peratus), Terengganu (88.1 peratus) dan Kedah (84.3 peratus).

Katanya, terdapat empat negeri mencatatkan jumlah bawah 80 peratus iaitu Labuan sebanyak 78.6 peratus, diikuti Pahang (69.3 peratus), Sarawak (66.6 peratus) dan Sabah (55.9 peratus).

Bagi mengikut kumpulan umur pula, katanya, 25.4 peratus adalah dalam kalangan umur muda (bawah 14 tahun), 69.3 peratus ialah penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 5.4 peratus di kalangan penduduk berumur 65 tahun dan lebih.

Jelas beliau, warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus manakala penduduk umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang dan Sarawak sebanyak 72.0 peratus.

"Putrajaya pula mencatatkan peratusan umur muda (di bawah 14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus,” katanya.

Tambah Mohd Uzir, penduduk Malaysia yang telah dibanci secara dalam talian ialah sebanyak 22.5 peratus dan 63.3 peratus penduduk telah dibanci secara bersemuka.