Operasi institusi pendidikan selepas dua minggu tarikh peralihan

Iklan
KPM merujuk kepada pengumuman PM pada 29 September berkaitan peralihan Fasa PPN bagi Selangor, Melaka dan Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021. Foto hiasan

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 29 September 2021 berkaitan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Selangor, Melaka dan Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021.

KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa Dua PPN.

Ini melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), pelajar Tingkatan Enam Semester Dua, International Baccalaureate Diploma (IBD) Tahun Dua, Program Prauniversiti Semester Tiga di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan pelajar kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

Iklan

Bermula 1 Oktober 2021, negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa Tiga PPN. Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021.

Ini melibatkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Iklan

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober 2021 untuk pelajar Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level).

Memandangkan negeri Kedah akan beralih ke Fasa Dua pada 1 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021.

Selain itu, susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berhubung peralihan Zon Selatan negeri Sarawak ke Fasa Tiga berkuat kuasa 1 Oktober 2021, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi zon ini kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa Dua PPN.

Pengoperasian institusi pendidikan di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.

Merujuk pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara di beberapa kawasan, KPM juga ingin memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan bawah KPM yang berada dalam kawasan PKPD adalah ditutup sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa.

Semua murid di kawasan yang terlibat perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.