BANDAR BARU UDA - Salah seorang pelajar Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) nyaris terbakar apabila asrama yang didiami bersama tiga rakannya di Pangsapuri Titiwangsa terbakar dalam kejadian sekitar jam 7 petang semalam.
Menurut pelajar tahun dua Diploma Pendidikan Islam, Safuan Fadli Amaludin, 20, hanya rakan serumahnya, Ahmad Danish Aiman, 20, yang berada di dalam rumah di tingkat dua itu ketika kejadian.
Katanya, Ahmad Danish tersedar daripada tidur apabila terhidu bau asap dan melarikan diri ke tingkat bawah selepas melihat api telah marak di bilik hadapan.
"Bila keluar bilik dia nampak api tengah marak di bilik saya.
"Dia jerit api, api tapi saya memang tak dengarlah sebab di tingkat empat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di asrama MARSAH, hari ini.
Pada kejadian jam 7.19 petang itu, Safuan hanya sedar apabila terhidu bau hangit.
"Masa itu dah kecoh kawan-kawan ajak turun bawah, masa saya lalu tingkat tiga asap tak tebal lagi tapi apabila sampai tingkat dua asap memang tebal dan terpaksa turun terus, tak boleh masuk rumah.
"Dah sampai bawah baru saya tahu bilik saya rupanya yang terbakar," ujarnya.
Kesemua barangan di bilik yang dikongsi bersama rakannya, Nur Ammar Izzuddin Bazlan hangus termasuk pakaian dan sebuah komputer riba.
"Saya tidak ada cas apa-apa, cuma ketika saya tinggalkan bilik suis kipas saya tak cabut.
"Selepas api dipadamkan, saya naik ke rumah terkejut tengok semua hitam, bilik saya rupanya yang terbakar... habis semua barang hangus.
"Nasib baik baju, komputer riba dan buku saya ada dalam almari di ruang tamu. Tapi dalam bilik ada komputer riba Ammar dan buku-buku dia habis terbakar dan yang tinggal cuma besi katil,” katanya.
dalam pada itu, Nur Ammar Izzuddin pelajar tahun dua Diploma Syariah Islamiah terkilan apabila komputer riba pemberian ibunya hangus dalam kejadian itu.
"Komputer tu mak bagi masa saya masuk MARSAH tahun 2017, saya tak sangka bilik saya terbakar.
"Baju yang saya baru basuh dan letak atas katil pun hangus juga,” katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 untuk diagihkan kepada empat pelajar kolej tersebut.
Setiap pelajar menerima RM500 untuk tujuan bantuan sara diri dan bakal menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor sekiranya masih ada kekurangan.
"Takziah kepada mangsa yang terlibat, syukur tiada korban jiwa, kita tunggu laporan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung punca kejadian.
"Minggu depan peperiksaan, jadi saya harap mereka yang terlibat dapat menumpukan kepada ulang kaji, saya difahamkan mereka akan dipindahkan ke bilik lain,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan di lokasi kejadian, hari ini.
Terdahulu dalam satu kejadian petang semalam, sebuah bilik di Pangsapuri Titiwangsa yang merupakan asrama MARSAH hangus terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.