RAMAI agak sensitif apabila bercakap tentang topik berkaitan pendidikan. Sejak sesi persekolahan bersemuka digantikan sementara dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan pandemik, ibu bapa antara yang paling beremosi.
Pandemik barangkali asbab untuk kerajaan terpaksa beralih arah dalam konteks berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Namun, tanpa kita sedar, perubahan dalam sistem pendidikan negara perlu menuju ke arah teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
Suka atau tidak, warga pendidik dan pelajar perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dari masa ke masa. Perubahan sistem pendidikan bukan perkara baharu. Ia sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa negara.
Sejarah perkembangan sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami evolusi sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara.
Ia bermula sejak Zaman Pramerdeka (sebelum 1957), kemudian berkembang pada Zaman Pasca Merdeka (1957-1970), beralih pula ke Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), diikuti Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara (2001 hingga sekarang).
Jika dahulu guru guna papan hitam dan kapur ketika mengajar, ia kemudian dinaiktarafkan kepada papan putih dan pen. Kini, PdPR menjadi sistem yang bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia tetapi evolusi itu berlaku di seluruh dunia.
Ini bukan soal isu atau keterpaksaan tetapi lebih kepada persediaan negara dalam mendepani ekosistem pendidikan yang lebih baik, canggih dan seiring dengan taraf pendidikan di negara-negara maju.
Ia juga secara tidak langsung menyokong falsafah pendidikan negara yang bermatlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan memberi sumbangan,
Sejak diwujudkan, PdPR telah banyak menimbulkan kontroversi. Hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat oleh kementerian secara dalam talian membuktikan 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi terhad dengan guru.
Sebanyak 55 peratus murid pula tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan, manakala 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.
Golongan ibu bapa tertekan kerana perlu menyediakan peralatan gajet dan data internet dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Baru-baru ini, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula Oktober ini, media sosial kembali gegak gempita. Walaupun murid rata-ratanya menyifatkan pembelajaran secara bersemuka lebih seronok berbanding kelas online tetapi lain pula yang timbul.
Komen demi komen menyelar tindakan KPM. Mereka bimbang tahap kesihatan anak-anak jika kembali ke sekolah. Ditambah pula ada dalam kalangan warga pendidik yang menolak untuk divaksin!
Pandemik yang berlaku seolah-olah satu signal agar semua pihak melihat isu pendidikan secara matang bukan dengan emosi, perang saraf atau jadi alat mainan politik.
Jika PdPR jadi isu pertelingkahan, bersemuka juga membimbangkan, dibimbangi akhirnya homeschooling jadi pilihan ibu bapa hanya kerana berasakan sistem pendidikan negara tidak meyakinkan.
Homeschooling pada dasarnya dibenarkan kepada anak-anak yang ada masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi di rumah. Ia hanyalah satu keistimewaan khusus, bukannya hak.
Di Malaysia, ada ibu bapa memilih homeschooling hanya kerana sistem pendidikan sering berubah-ubah, tidak setuju dengan kurikulum di sekolah, malah tidak mahu anak jadi mangsa buli atau didera.
Mungkin ibu bapa tidak sedar, anak-anak homeschooling tidak akan terdedah dengan kehidupan bersosial, berorganisasi dan paling parah tidak tahu bekerja dalam pasukan kerana terbiasa bersendirian.
Apa pun, tepuk dada tanya selera. Masa depan anak-anak berada dalam tangan ibu bapa. Meskipun KPM memberi petunjuk tentang kelonggaran jika terdapat keraguan isu Covid-19, namun cabaran besar buat KPM untuk meyakinkan ibu bapa menghantar kembali anak-anak ke sekolah.
* Najwa Mohd Ghazali ialah Ketua Unit Komersial Sinar Harian