Kredibiliti, integriti SPRM di bawah radar rakyat

Iklan

TIGA pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan reman untuk membantu siasatan kehilangan barang kes berupa wang tunai berjumlah AS$6 juta (RM25 juta) cukup mengejutkan.

Kes itu terbongkar selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan berkenaan pada 2018 hilang.

Iklan
Iklan

Sebagai badan bebas yang membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, imej SPRM sudah tentunya tercemar apabila tiga pegawai kanannya didakwa terbabit dalam perbuatan terlarang itu.

Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi. Sekiranya benar, masyarakat secara umumnya seolah-olah tidak percaya bagaimana pegawai kanan SPRM sendiri tidak amanah dan sanggup menyalahgunakan kuasa. Biarpun kes itu masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa perlu memberikan jawapan jelas dan memastikan si pelaku menerima hukuman sewajarnya sekiranya didapati bersalah.

Iklan

Sebagai ketua yang bertanggungjawab, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sepatutnya membebaskan diri daripada mencampuri sebarang urusan siasatan berhubung kes tersebut.

Jika tidak, beliau akan dianggap pilih kasih dan ketelusannya boleh menimbulkan keraguan.

Iklan

Sebelum itu, peranan SPRM agak tercabar apabila didakwa hanya menumpukan kes-kes kecil dan tidak berminat meneruskan siasatan terhadap kes-kes berprofil tinggi.

Apabila terdedahnya kehilangan wang tunai yang menjadi barang kes dikaitkan dengan pegawai kanan SPRM, keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti badan bebas berkenaan mestilah dipulihkan segera.

Pada masa yang sama, SPRM perlu mempergiatkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang bersih lagi dihormati.

Kita mahu SPRM membuktikan bahawa ia benar-benar serius membasmi gejala rasuah di negara kita.

Selain itu, demi mengelakkan anggota dan pegawai SPRM terbabit dalam kes jenayah, SPRM juga digesa mengkaji sebarang kelemahan yang wujud dalam urusan penguatkuasaan dan pentadbirannya.