Jangan 'cair' dengan tawaran kereta sifar deposit

Iklan
Azman (tengah) menujukkan salah dokumen dari syarikat penjualan kereta yang dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang.

SHAH ALAM - Pengguna dinasihatkan agar tidak 'cair' dengan promosi sifar deposit atau tanpa deposit dalam pembelian kereta baharu atau terpakai kerana tawaran itu menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, tawaran itu kerap digunakan peniaga bagi menarik minat pengguna untuk membeli kereta yang dijual.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun mengetahui tentang akta yang dikuatkuasakan itu, namun masih banyak syarikat penjual kereta enggan mematuhi arahan itu atas alasan bagi melariskan jualan.

"Dalam pemeriksaan terhadap 35 premis di sekitar Selangor menerusi Ops 0% Deposit semalam, 11 daripadanya membabitkan syarikat kereta terpakai dan pengedar sah melanggar arahan itu," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabatnya hari ini.

Iklan

Azman berkata, syarikat ini didapati mengambil deposit kurang 10 peratus daripada harga tunai kenderaan dengan mengubah spesifikasi dan aksesori dalam perjanjian surat pembelian.

"Malah ada yang meletakkan sifar deposit, tindakan itu akan mengakibatkan pelbagai pemasalahan timbul di kemudian hari membabitkan pembeli kenderaan berkenaan berhubung isu kepenggunaan.

Iklan

"Ini termasuk dalam memanipulasi harga dalam insurans, penggantian alat ganti kereta akibat kemalangan dan seterusnya pertikaian pembayaran balik antara pembeli dan bank," katanya.

Azman memberitahu, antara kepentingan meletakkan deposit adalah bagi memastikan pembeli mempunyai komitmen serta menjadi kayu ukur akan kemampuannya dalam membuat pembayaran balik di bank setiap bulan.

"Perkara yang paling dibimbangkan adalah apabila pembeli atau pengguna gagal membayar komitmen bulanan mereka sehingga disenarai hitam serta diisytiharkan muflis.

"Situasi itu juga mungkin berlaku kepada mana-mana individu yang bertindak sebagai penjamin," katanya.

Azman menambah, 11 syarikat yang didapati bersalah itu telah diarahkan memberhentikan iklan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Sewa Beli 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 46 (1) (a) akta yang sama.

"Ops 0% Deposit yang bermula semalam akan diteruskan di seluruh Selangor hingga ke satu tempoh yang dilihat telah mampu mencegah dan mendidik peniaga serta pengguna tentang perkara ini," katanya lagi.