[VIDEO] 297 PATI tinggal berhimpit dalam kontena ditahan

Iklan

KAJANG - Seramai 297 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sebuah kawasan rumah kongsi di Jalan Eco Majestic 1/2c di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 326 warga asing yang tinggal di dalam tujuh buah kontena diperiksa dalam operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Operasi ini hasil daripada aduan penduduk sekitar di mana kalau kita perhatikan kawasan ini dikelilingi apartmen, rumah teres dan banglo mewah.

"Penduduk sekitar membuat aduan berkenaan penempatan tersebut yang berada dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi kawasan pembiakan denggi," katanya kepada media ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Iklan

Khairul Dzaimee berkata, kebanyakan daripada warga asing tersebut dipercayai bekerja sebagai buruh binaan dan sektor perkilangan malah ada yang menjalankan perniagaan sendiri.

Khairul Dzaimee

Tambahnya, kawasan penempatan tersebut jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446.

Iklan

"Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 ini majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita Indonesia, 95 lelaki Bangladesh, 66 lelaki Myanmar, seorang lelaki Ghana serta enam lelaki dan tujuh wanita Vietnam

"Kehadiran wanita warga asing yang ramai ini khususnya daripada Vietnam menimbulkan keraguan kerana disyaki menjalankan aktiviti yang tidak bermoral," ujarnya.

Katanya, kesemua PATI direman selama 14 hari di depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

"Mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau Seksyen 15(1)c iaitu tinggal lebih masa," katanya.