TAPAH - Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabit dalam nahas dengan dua buah lori di Kilometer 316.3 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Tan Ying Ming, 54, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah MPV dan dua lori yang membawa muatan buah-buahan dan ayam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila MPV terbabit melanggar bahagian belakang lori yang membawa buah-buahan.
"MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh, apabila sampai di lokasi kejadian telah melanggar bahagian belakang lori yang menuju ke arah sama di lorong kiri.
"Akibat pelanggaran itu, MPV terbabit terbabas ke lorong kanan dan dilanggar sebuah lori yang membawa muatan ayam sebelum kedua-duanya kenderaan tersebut terbakar," katanya.
Wan Azharuddin berkata, nahas itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu selepas mendapat keputusan ujian calitan Covid-19.
"Kedua-dua pemandu lori berusia 49 dan 58 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.49 pagi.
"Terdapat sebuah lori muatan ayam musnah 60 peratus manakala MPV terbabit musnah 90 peratus dalam nahas itu.
"Anggota melakukan pemadaman menggunakan dua aliran air sehingga api padam sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 5.48 pagi," katanya