Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

Iklan
Kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000

KUALA LUMPUR - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 manakala bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang bermula pada Jumaat.

Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

Iklan
Iklan

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada awal September lalu mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

Iklan

Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

"Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya. - Bernama

Iklan