TAMPIN - Misteri kematian tiga ekor kambing dan seekor lagi hilang pada minggu lalu terjawab apabila seorang penternak menemui seekor ular sawa sepanjang lebih lima meter di dalam kandang kambingnya.
Nordin Ismail, 63, berkata, pada jam 12.30 malam Selasa lalu ketika meninjau kebun sayurnya, dia ada terdengar bunyi bising di dalam kandang kambingnya sebelum mendapati seekor ular sawa sedang membelit anak kambing miliknya.
"Dalam keadaan panik saya terus mengambil parang dan tombak memukul ular tersebut sehingga mati, sebelum dilepaskan semula anak kambing.
"Saya terpaksa membunuh ular itu kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang lebih buruk pada masa akan datang jika dibiarkan begitu sahaja. Selepas kejadian itu kini kambing saya hanya tinggal lapan ekor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nordin berkata, sebelum ini dia yang turut mengusahakan kebun sayur sentiasa meninjau kawasan kebunnya kerana bimbang dengan kehadiran babi hutan, namun pada hari itu dia kebetulan ternampak ular sawa sedang membelit anak kambingnya.
Katanya, sebelum ini dia menganggap kambingnya mati disebabkan harimau, tetapi selepas menemui ular sawa tersebut, kematian haiwan ternakannya sebelum ini berkemungkinan disebabkan reptilia itu.
"Ini kali pertama kali saya jumpa ular sawa sepanjang lebih lima meter dengan berat yang dianggarkan dalam 70 kilogram dan bangkai ular ini telahpun ditanam pada keesokkannya.
"Sebelum ini Jabatan Perhilitan ada memasang perangkap untuk menangkap harimau, tetapi belum berhasil," ujarnya.