KUALA LUMPUR - Sebanyak 26 premis perniagaan yang dikendalikan warga asing diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Ops Patuh yang dilaksanakan pada 16 sehingga 30 September lalu.
DBKL menerusi kemas kini di Facebook berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 115 kompaun atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan kepada pemilik premis.
Iklan
Iklan
Menurutnya, seramai 44 pengendali dan pekerja premis warga asing yang dikenal pasti dalam operasi tersebut ditahan untuk diambil keterangan bagi tujuan dokumentasi serta tindakan susulan.
"Ops Patuh kali ini dilaksanakan di 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan premis perniagaan dan komersil," menurut kemas kini tersebut pada Jumaat.
DBKL selain itu berkata, sebanyak 11 kompaun turut dikeluarkan ke atas pemilik premis kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, pelaksanaan Ops Patuh itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).