Kopi mampu jana ekonomi negara

Iklan
Sambutan Hari Kopi Sedunia 2021 yang disempurnaknan secara maya oleh Ronald yang diadakan di Jabatan Pertanian Malaysia. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

PUTRAJAYA - Industri tanaman kopi bukan saja dapat memenuhi keperluan negara bahkan berpotensi untuk dieksport ke luar negara sekali gus menjana ekonomi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pengeskportan ini sekali gus dapat memperkenalkan kopi keluaran negara ke seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Kopi adalah komoditi yang dapat meningkatkan pendapatan ekonomi melalui penjualan produk dan peluang-peluang perniagaan dalam rantaiannya," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Kopi Sedunia yang disambut setiap 1 Oktober. Sambutan itu dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) secara dalam talian.

Iklan

Menurut Ronald, penghasilan benih, penanaman di ladang, penuaian, pemprosesan biji, pemasaran dan penghasilan produk berasaskan kopi adalah antara aktiviti utama dalam rantaian pengeluaran kopi.

Kakitangan jabatan Pertanian menunjukkan jenis-jenis biji kopi ketika sambutan Hari Kopi Sedunia 2021 yang disempurnaknan secara maya oleh Ronald yang diadakan di Jabatan Pertanian Malaysia. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

"Pelbagai pihak terutamanya petani, industri pemprosesan, pengilang dan jabatan atau agensi yang terlibat di sepanjang rantaian nilai ini," katanya.

Iklan

Sambutan Hari Kopi Sedunia adalah suatu bentuk penghargaan dan manifestasi rasa terima kasih kepada semua yang terlibat di sepanjang rantaian pengeluaran kopi di seluruh dunia bermula daripada petani sehingga kepada penggemar kopi.

"Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui DOA akan terus komited memberi perhatian agar industri ini terus diperkukuh dan tidak ketinggalan, serta bergerak seiring dengan perkembangan industri tanaman agromakanan yang lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.

Sejarah penanaman kopi di Malaysia bermula pada abad ke-17 iaitu melalui penanaman kopi arabica.

Pada akhir abad ke-18 pula, kopi liberica telah diperkenalkan dan awal abad ke-19, petani mula menanam kopi daripada spesies robusta.

"Memandangkan negara Malaysia mempunyai iklim yang sesuai dan tanah lanar yang subur, keberadaan sumber semula jadi ini memberi kelebihan kepada negara kita untuk mengeluarkan hasil kopi, terutamanya daripada spesies liberica yang mempunyai rasa istimewa dan unik," katanya.

Industri tanaman kopi bukan saja dapat memenuhi keperluan negara bahkan berpotensi untuk dieksport ke luar negara sekali gus menjana ekonomi negara. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

Pada tahun 2020, keluasan kawasan penanaman kopi di seluruh Malaysia adalah seluas 2,200 hektar berbanding 2,114 hektar pada tahun 2019.

Pengeluaran kopi pada tahun 2020 pula adalah sebanyak 4,241 tan metrik berbanding tahun 2019 sebanyak 3,559 tan iaitu negeri pengeluar utama adalah Johor dan Sabah.

Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bagi Projek Pembangunan Industri Tanaman Kopi yang antara lain, bertujuan untuk menyediakan infrastruktur dan fasiliti pengendalian lepas tuai, pembekalan input-input pertanian, perolehan bahan dan peralatan kawalan perosak dan pemindahan teknologi.

"DOA juga akan memberi penekanan khusus untuk merangka inisiatif baharu bagi terus menggalakkan golongan muda dan usahawan tempatan untuk membangunkan industri tanaman kopi di Malaysia," katanya.