TUMPAT – Tiga lelaki ditahan ketika sedang leka memunggah kotak raga yang dipenuhi 1,980 ekor ayam hidup dalam satu serbuan di Pengkalan Haram Burung Layang-Layang, Pengkalan Kubor, di sini awal pagi Jumaat.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan tersebut melibatkan Ops Khas Bersepadu PGA Batalion 7 dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubur.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dalam serbuan jam 1 pagi itu, pihaknya menahan tiga lelaki berkenaan berusia antara 25 hingga 42 tahun yang ketika itu sedang sibuk memunggah kotak-kotak berisi ayam hidup ke dalam sebuah lori.
"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori tersebut telah menjumpai 198 kotak raga dengan setiap raga mengandungi 10 ekor ayam hidup.
"Mereka yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen dan ayam-ayam hidup tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran Thailand untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, ayam berkenaan dianggarkan bernilai RM53,460 dan jumlah tangkapan keseluruhan adalah sebanyak RM173,460 termasuk sebuah kenderaan.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia 2011 (Akta 728).