ASNB umum bayaran agihan pendapatan RM650.73 juta

Iklan
ASNB merupakan anak syarikat milik penuh PNB.

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Khamis mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM650.73 juta untuk dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) dan dana harga berubah, ASN Equity 5 serta ASN Sara (Mixed Aset Conservative) 2 (ASN Sara 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu kenyataan berkata, ASM 3 adalah salah satu daripada enam dana harga tetap yang diuruskan oleh ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit.

Iklan
Iklan

"Pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini mengatasi pulangan penanda aras sebanyak 1.85 peratus yang direkodkan oleh Deposit Tetap 12 bulan Maybank bagi tempoh yang sama,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Menurutnya, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 11.46 peratus dan 4.04 peratus, mengatasi penanda aras masing-masing iaitu 8.66 peratus dan 1.73 peratus.

Iklan

"ASN Equity 5 mengisytiharkan bayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM9.80 juta bersamaan dengan 2.85 sen seunit manakala ASN Sara 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM47.88 juta bersamaan dengan 2.80 sen seunit kepada 42,860 pemegang unit dengan pegangan 1.71 bilion unit.

"Pulangan ini adalah bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 2.95 peratus untuk ASN Equity 5 dan 2.75 peratus untuk ASN Sara 2, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 23 September 2021,” jelas kenyataan itu.

Iklan

Tambah kenyataan itu, pengagihan pendapatan tersebut diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global serta domestik secara beransur-ansur.

"Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa meningkat secara ketara dengan sumbangan di antara 32 peratus dan 73 peratus untuk dana masing-masing bagi tahun kewangan semasa.

"Kesan positif daripada inisiatif kepelbagaian yang dilakukan menerusi Pelan Strategik Jangka Panjang PNB terbukti dengan peningkatan prestasi kedua-dua dana ini, membuktikan komitmen tinggi institusi tersebut untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang unitnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengagihan pendapatan bagi ASM 3 dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, pengiraan berdasarkan jumlah unit yang dimiliki pada hujung tahun kewangan dana tersebut.

"Pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober 2021 untuk ASM 3 dan pada 2 Oktober 2021 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2,” katanya.