40 jam tunda bot nelayan asing ke jeti

Iklan
Khairun Dalilah (dua dari kiri) memeriksa hasil laut yang dicuri nelayan asing Vietnam dalam sidang media di Pasir Puteh, pada Jumaat.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil masa 40 jam menunda dua bot nelayan asing ke jeti pasukan itu di Tok Bali selepas ditahan kerana menceroboh masuk ke perairan negara ini secara haram pada Selasa.

Kedua-dua bot nelayan Vietnam yang dikesan mencuri kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut negara itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada jarak 114 dan 115 batu nautika dari muara Tok Bali.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, kerja-kerja menunda mengambil masa disebabkan kumpulan nelayan asing berkenaan segaja merosakkan bot mereka bagi mengganggu tugas penguat kuasa.

"Faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini dengan ombak setinggi 2.5 meter dan tiupan angin mencecah 40 kilometer sejam serta hujan lebat menyulitkan lagi tugas membawa pulang bot-bot tersebut," katanya kepada pemberita di jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali dekat sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, bot pertama yang ditahan pada jam 6.54 petang itu membawa tiga kru termasuk seorang tekong.

Menurutnya, bot kedua ditahan pada jam 7.09 petang membabitkan 16 kru termasuk seorang tekong.

Iklan

"Kesemua 19 kru termasuk dua tekong yang ditahan itu berusia 14 hingga 48 tahun.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM3 juta," ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.