Kaji semula Akta SKMM 1998

Iklan
Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu dikaji semula bagi memastikan sebarang pelanggaran keselamatan siber seperti kebocoran data peribadi dapat ditangani secara serius melalui penguatkuasaan undang-undang,

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan pada Jumaat, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengkaji semula Akta SKMM 1998 dan berharap agar siasatan menyeluruh akan dilakukan atas dakwaan mengenai kebocoran data oleh sesebuah agensi kerajaan.

Iklan
Iklan

"Amat penting bagi KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan SKMM untuk mengkaji dakwaan kebocoran data oleh sesebuah badan kerajaan.

"Untuk kes tersebut, tidak akan ada yang terlepas semasa siasatan dijalankan termasuk kajian forensik siber untuk mengetahui bagaimana kebocoran itu berlaku," katanya.

Iklan

Beliau berkata sebarang dakwaan kejadian kebocoran data peribadi di sesebuah agensi kerajaan semestinya akan membuka mata.

"Peranan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar dan teknikal di bawah bidang kuasa KKMM adalah untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan, program dan inisiatif melalui inovasi keselamatan siber untuk mengurangkan kerentanan sistem digital, dan pada masa yang sama memperkukuhkan kemandirian Malaysia di ruang siber.

Iklan

"Tambahan pula, sebagai pakar teknikal, CyberSecurity Malaysia memerlukan kerangka undang-undang yang kukuh seperti undang-undang keselamatan siber untuk menangani cabaran keselamatan siber dalam perkembangan teknologi digital masa kini," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, perlindungan data peribadi perlu diberikan lebih fokus jika Malaysia berhasrat untuk menjadi salah daripada pusat digital utama dalam kalangan negara-negara ASEAN.

"Ini diperlukan untuk membina keyakinan bukan sahaja dalam kalangan pengguna tetapi juga para pelabur. Salah satu aspek terpenting dalam membina keyakinan seperti itu adalah menangani masalah keselamatan siber dengan serius.

"Ketika dunia sedang mengalami era digitalisasi, terdapat keperluan mendesak untuk kita mewujudkan ekosistem dengan isu keselamatan siber menjadi perkara terpenting," katanya.