Garis panduan pengurusan kereta terbiar dibentang April

Iklan
Anthony Loke ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara Bil1/2019 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Satu garis panduan pengurusan kereta terbiar di kawasan perumahan dan tempat awam akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet bulan hadapan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata garis panduan yang dibangunkan dan dibentangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), juga akan dibentangkan pada Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan pada Jun, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada Julai nanti.

Iklan
Iklan

Garis panduan itu, katanya, akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melupuskan kenderaan terbiar tidak melebihi 33 hari berbanding satu tahun sebelum ini berdasarkan peruntukan menerusi Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengangkutan pertama di sini hari ini, Loke berkata kenderaan terbiar merupakan antara masalah yang sering diadu orang ramai dan PBT sebelum ini tidak mempunyai kuasa untuk mengalihkan kenderaan tersebut.

Iklan

"Dulu, tanpa garis panduan, PBT tidak ada kuasa uruskan kenderaan terbiar. Proses itu agak panjang iaitu 12 bulan di mana PBT perlu alih kenderaan, masuk depoh dan cari pemilik sebelum dilupuskan,” kata beliau.

Loke berkata garis panduan yang bakal dibentangkan itu akan melibatkan carta aliran proses pengurusan kereta bermula dari kereta itu ditarik, pencarian pemilik dan sehinggalah kenderaan berkenaan dilupuskan apabila pemilih tidak dapat dicari.

Iklan

"Tidak ada apa-apa bayaran dikenakan kepada pemilik. Jika ada kenderaan terbengkalai, kereta itu akan ditarik dan dibawa ke depoh. Dari situ, kita akan siasat siapa pemilik dan latar belakang kenderaan. Selepas mendapatkan maklumat, kita akan tubuhkan Jawatankuasa Pelupusan Aset Disita di setiap PBT untuk membuat keputusan untuk melupuskan kereta tersebut.

"Wang hasil pelupusan selepas ditolak kos-kos yang ditanggung oleh PBT akan disimpan selama dua tahun bagi membolehkan pemilik membuat tuntutan. Untuk kereta yang mempunyai pemilik, mereka boleh mengambil kereta sebelum proses pelupusan," katanya, sambil menambah pemilik kenderaan diberi notis 14 hari untuk menuntut semula kereta ditarik itu.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata berdasarkan rekod, lebih 60,000 kenderaan terbiar masih berdaftar di seluruh negara.

Mengambil contoh implikasi kewangan yang ditanggung oleh PBT, Loke berkata kos membeli trak tunda adalah RM100,000 dan dan perlu membuat pembayaran iklan penghantaran iklan notis di akhbar-akbar.

"Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) telah membelanjakan RM564,000 untuk menyewa depoh besar untuk menyimpan kenderaan-kenderaan terbiar manakala Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula membelanjakan RM40,000 untuk pengiklanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk menyerahkan pengurusan bas henti-henti kepada kerajaan negeri kerana lebih tahu mengenai perkhidmatan yang diperlukan di setiap negeri.

"Modal pembiayaan bas berkenaan perlu dihentikan dana sokongan dari kerajaan pusat. Subsidi diberikan semakin meningkat setiap tahun. Kalau tidak ada pendekatan baharu, maka ia tidak mampan dan kerajaan pusat pun tidak mampu sediakan dana.

"Satu rundingan sedang dilaksanakan untuk mengasingkan kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu beri subsidi dan diberi kuasa untu melantik syarikat pengendali.

"Sebelum ini, kerajaan beri semua subsidi, sekarang jika negeri itu kaya, mereka boleh beri lebih subsidi dan jika miskin, kerajaan akan berikan subsidi lebih," katanya.

Mesyuarat itu juga membincangkan hala tuju operasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasa itu lebih berkesan bagi memastikan keselamatan di jalan raya lebih terjamin. -Bernama