RATA-rata penyokong dan peminat bola sepak tempatan menyambut baik pengumuman kerajaan yang membenarkan penonton kembali ke stadium.
Presiden The Red Warriors (TRW) Lembah Klang, Faizal Hasbi berkata, kebenaran yang diberikan kerajaan itu sudah pasti mampu menyemarakkan kembali arena bola sepak Malaysia dengan kehadiran penonton ke stadium.
"Pada asasnya, saya sebagai penyokong menyambut baik dengan pengumuman pihak kerajaan semalam (Rabu) sebab dah lama rasanya penyokong tidak hadir ke stadium.
"Apa pun dalam kita bergembira dengan berita ini, semua penyokong diingatkan agar tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Kita tidak mahu ada pelanggaran SOP sehingga akhirnya memberi kesan kepada pasukan yang bertanding mahupun penyokong lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Bagi penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azim Ahmad, dia turut bersetuju dengan syarat yang ditetapkan agar kesemua penonton yang hadir ke stadium dan mematuhi SOP.
"Selaku ‘pemain ke- 12’, saya bersetuju dengan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membenarkan penonton kembali ke stadium.
"Kehadiran penonton ke stadium sudah tentu dapat membakar semangat para pemain. Cuma kita harus berhati-hati dan elak daripada pelanggaran SOP sehingga menyebabkan kebenaran ini ditarik balik,” ujarnya.
Setiausaha Kelab Peminat Bola Sepak Perak (Perak FC), Redzuan Alias pula menganggap kebenaran penonton ke stadium adalah satu langkah terbaik dalam usaha memeriahkan kembali bola sepak Malaysia.
"Bagi para penyokong bola sepak, mereka sudah pasti merindui suasana di dalam stadium. Ini satu berita gembira buat penyokong bola sepak di seluruh negara,” jelasnya.