Piala Malaysia: Kelab sedia terima penyokong kembali ke stadium

Iklan
Kehadiran penyokong ke stadium bermula perlawanan minggu ketiga pada 29 Oktober depan. - Foto Bernama

SEBANYAK 16 pasukan yang beraksi dalam Piala Malaysia akan menggunakan tempoh rehat selama sebulan dengan sebaiknya untuk bersedia dengan segala prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima kembali kehadiran penyokong ke stadium bermula perlawanan minggu ketiga pada 29 Oktober depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, ia penantian yang berbaloi kerana sudah agak lama tidak menerima kehadiran penyokong dan semestinya dengan rekod pasukan yang belum pernah tewas di laman sendiri musim ini akan lebih bermakna dengan adanya penonton di stadium.

Iklan
Iklan

Apa yang penting ketika ini adalah pasukan-pasukan perlu bersedia dalam tempoh rehat liga untuk menambahbaik apa jua SOP yang diperlukan bagi memastikan kelancaran pergerakan penonton di dalam stadium agar tiada perkara tidak diingini berlaku.

"Saya sangat berbesar hati mendengar pengumuman ini walaupun pada pandangan saya mungkin boleh diberikan lebih awal tetapi itu tidak mengapa asalkan penyokong akhirnya dapat kembali ke stadium.

Iklan

"Terutama bagi penyokong Kuala Lumpur, mereka sudah tidak tentu sabar hendak datang ke stadium kerana ini adalah rekod terbaik pasukan sejak 33 tahun lepas, bukan sahaja penyokong lama tetapi yang baharu.

"Kita rasa bertuah kerana sebelum ini Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menjadi salah satu stadium contoh mempelajari SOP selain Stadium Sultan Ibrahim, jadi banyak perkara kita boleh lihat dalam perbaiki sebarang kelemahan,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali pula melihat kepada aspek kewangan yang semestinya akan membantu pasukan selepas ini dengan kehadiran semula penyokong ke stadium.

Meskipun masih belum diumumkan lagi kapasiti penonton yang dibenarkan hadir, beliau percaya penyokong-penyokong Kedah mampu mengikuti SOP dengan teratur sepertimana pernah lakukan sebelum ini di mana perlawanan terakhir yang berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium adalah pada 9 Mei 2021.

"Kehadiran penyokong ke stadium adalah salah satu penjanaan kewangan kepada pasukan dan sudah tentu kami di Kedah Darul Aman, mengalu-alukan berita sebegini selepas sekian lama penyokong tidak dapat ke stadium.

"Ditambah Piala Malaysia sedang berlangsung, saya rasa peminat Kedah pasti akan berpusu-pusu mahu menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka kerana aura kejohanan ini sentiasa memikat penyokong.

"Apa sahaja peratus kebenaran penyokong yang diberikan, kami di Kedah akan patuh dan mampu menerimanya kerana apa yang penting penyokong boleh masuk ke stadium”, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Justin Lim Hwa Tat pula memberi jaminan penonton-penonton yang akan hadir ke stadium adalah mereka bebas Covid-19 dan tiada seorang pun individu tidak bertanggungjawab akan terlepas kawalan sekiranya tidak lengkap dua dos vaksin seperti yditetapkan.

"Kami di Melaka United FC menyambut baik dan menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di atas pengumuman kebenaran penonton yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk kembali ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Malaysia musim ini.

"Kali terakhir Melaka United beraksi di hadapan penonton adalah ketika perlawanan Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Hang Jebat pada 9 Mei lalu dengan kehadiran penonton ketika itu cukup menggalakkan dan pastinya peminat bola sepak di Melaka merindui untuk kembali menyaksikan perlawanan di stadium.

"Kami di Melaka United bersedia mematuhi SOP-SOP yang ditetapkan pada hari perlawanan. Kami akan memastikan semua yang berada di stadium bebas daripada Covid-19.

"Oleh itu pematuhan SOP daripada semua pihak adalah tanggungjawab bersama dengan hanya penonton yang lengkap vaksinasi dan tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk ke stadium.

"Walaupun kos pengoperasian perlawanan akan meningkat, kami percaya jika penyokong dapat memenuhi stadium dengan kapasiti yang dibenarkan, ia sedikit-sebanyak bakal membantu kewangan kelab”, jelasnya.

Pihak MFL ketika ini masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut Fasa 2, 3 dan 4 yang akan dimaklumkan oleh KBS bersama dengan SOP sukan yang ditetapkan.

Berbaki satu lagi perlawanan akan berlangsung pada malam ini membabitkan aksi Kumpulan C antara Kelantan United FC dan Negeri Sembilan FC sebelum saingan berehat dan akan kembali bersambung pada 29 Oktober depan bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.