‘Mana bayaran kami?’

Iklan
Sebahagian daripada kontraktor di Kemahang 2 di Kelantan yang mengadakan mogok baru-baru ini.

KLUANG- Ratusan kontraktor diamanahkan mengangkut buah kelapa sawit dari ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini berada dalam kesulitan kerana tidak menerima bayaran sejak lebih tiga bulan lalu.

Seorang kontraktor dari Perak yang enggan identiti didedahkan berkata, dia tidak mampu lagi membuat pusingan modal apabila tidak menerima bayaran sejak bulan Disember tahun lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk menjelaskan bayaran gaji lebih 10 pekerja, pinjaman lori dan kos minyak.

"Mana bayaran kami? Saya tidak tahu macam mana nak pusing modal. Nak pinjam pada kontraktor lain, mereka pun berdepan dengan situasi sama.

Iklan

"Saya dan kontraktor lain kini makin tersepit. Bayaran tidak dapat tetapi masih perlu mengangkut buah," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi kontraktor dari Segamat, Johor, berkata, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM22,000 untuk membayar gaji 15 pekerjanya.

Iklan

Menurutnya, bukan dirinya sahaja tetapi rakan kontraktor lain di Johor berdepan masalah sama.

"Sekiranya dihitung sudah hampir RM150,000 bayaran tidak dijelaskan. Pihak pengurusan kata tunggu kertas putih Felda dibentangkan. Kami sudah semakin tersepit. Kami mahu bayaran dijelaskan.

"Kami mungkin ambil tindakan untuk mogok. Macam mana nak bekerja kalau tidak menerima bayaran," katanya.

Sementara itu, Penasihat Suara Generasi Baru Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata, kegagalan pembayaran itu menyebabkan sumber kewangan kontraktor terganggu.

"Jadi nak tak nak ada kontraktor di beberapa wilayah contohnya wilayah Raja Alias (Jempol, Negeri Sembilan) dan Felda Kemahang 2 di Kelantan telah mengambil tindakan untuk mogok," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, Felda perlu memandang serius masalah yang dihadapi kontraktor ini dan segera mencari jalan penyelesaian.

"Kontraktor ini bukan hanya perlu membayar gaji pekerja, bahkan ada yang masih membuat bayaran pinjaman kepada bank bagi setiap lori mengangkut buah sawit,” katanya.