Penjawat awam perlu menjadi mata dan telinga SPRM
SHAH ALAM – Negeri Selangor tidak boleh dikatakan sebagai lubuk rasuah, tegas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor, Datuk Alias Salim.
Menurutnya, mengikut statistik bagi negeri Selangor dari tahun 2016 hingga Ogos 2021, hanya seramai 267 penjawat awam ditangkap daripada jumlah 2,616 orang di seluruh negara.
"Jumlah penjawat awam yang ditangkap ini bukannya penjawat awam negeri sahaja tetapi ia termasuk penjawat awam Persekutuan yang berada di Selangor.
"Jadi, kita tidak boleh mengatakan secara spesifik Selangor ini lubuk rasuah,” katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian edisi ke-293 bertajuk ‘Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah’ yang diadakan di Studio Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Alias menambah, daripada 267 orang yang ditangkap itu, seorang adalah dari kategori pengurusan tertinggi, 77 orang pengurusan dan profesional serta selebihnya gred bawah 41.
"Seorang sahaja melibatkan pengurusan tertinggi jika dibandingkan dengan tempat lain di Selangor bagi tempoh 2016 hingga Ogos 2021,” jelasnya.
Dalam pada itu, Alias turut meminta penjawat awam agar menjadi mata dan telinga SPRM dalam usaha mengekang perbuatan rasuah di negara ini.
"Kami (SPRM) hanya ada sekitar lebih 2,000 pegawai SPRM, tidak akan mampu untuk menangani lebih 32 juta penduduk Malaysia.
"Di sinilah peranan penjawat awam sebagai ‘whistleblower’ kerana mereka tahu apa berlaku dalam jabatan mereka dan maklumat itu biasanya tepat.
"Tugas penguatkuasa SPRM lebih mudah untuk jalankan siasatan dan tak perlu mencari unit atau bahagian yang terlibat kerana pengadu beri maklumat yang tepat.
"Jika mereka takut menjadi pengadu, mereka boleh menjadi pemberi maklumat yang akan dilindungi oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jika dibuang kerja atau sebagainya oleh ketua jabatan mereka,” tegasnya.
Sementara itu, beliau mengatakan SPRM juga mensasarkan untuk memberi tumpuan kepada penangkapan orang awam yang berperanan memberi rasuah kepada penjawat awam.
"Orang awam sebenarnya yang menyogok penjawat-penjawat awam terutama pegawai penguatkuasa. Dari segi etika, jika penjawat awam disogok mereka seharusnya melaporkan kepada SRPM agar tindakan terhadap individu yang menyogok itu dapat diambil,” katanya.
Hentikan budaya beri dan terima
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menggesa agar tindakan memberi dan menerima rasuah dihentikan.
Menurutnya, rasuah di negara ini semakin parah akibat tindakan pemberi dan penerima yang berlaku dalam kalangan orang awam.
"Orang awam perlu mengubah sikap dengan menolak atau membenci perbuatan rasuah. Sama seperti Covid-19 yang kena putuskan rantaian, orang awam juga kena putuskan rantaian rasuah. Kalau tiada permintaan, tidak akan ada penawaran,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan peranan Rasuah Busters sebagai sebuah gerakan kempen kesedaran agar setiap rakyat di negara ini mempunyai jati diri atau kawalan terhadap diri sendiri.
Tegasnya, kawalan itu mestilah berpegang kepada nilai yang berasaskan agama dan rukun negara.
"Seseorang yang percaya kepada Tuhan, akan timbul dua perasaan dalam dirinya sama ada sayang atau takut kepada Tuhan.
"Apabila timbul rasa takut, dia tidak akan lakukan perbuatan yang salah. Bagi umat Islam, jelas bahawa rasuah adalah haram dan saya yakin agama lain juga meletakkan rasuah ini sebagai haram,” ujarnya.
Beliau menyeru agar satu kebangkitan berlaku di mana rakyat negara ini bersatu dan berjuang untuk menolak perbuatan rasuah.
MBI Selangor wujudkan JIG banteras rasuah
Negeri Selangor mencatatkan penurunan kes rasuah apabila merekodkan sebanyak 43 tangkapan sehingga Ogos tahun ini berbanding 54 tangkapan pada 2020 dan 79 pada 2016.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasar statistik itu dakwaan Selangor sebagai negeri lubuk rasuah adalah tidak benar sama sekali malah Selangor adalah lubuk rezeki.
"Persepsi ini berlaku kerana tangkapan terbaru yang melibatkan pemimpin dan bekas pemimpin daerah yang masih lagi menjawat jawatan utama. Hakikatnya, Selangor mencatatkan penurunan kes.
"Dari segi data angka di Malaysia, Selangor bukan negeri yang tertinggi. Ada negeri di timur yang mencatatkan angka lebih tinggi.
"Bandingan dari segi peratus penduduk, kepadatan serta kepesatan ekonomi di negeri ini bukan ukuran untuk dikatakan sebagai lubuk,” katanya.
Sementara itu, MBI Selangor telah mewujudkan Jabatan Integriti dan Governans (JIG) pada tahun 2020 untuk menyahut seruan kerajaan dalam usaha membendung jenayah rasuah.
JIG MBI membuat pelaporan terus kepada Jawatankuasa Bebas dikenali sebagai Jawatankuasa Audit, Pengurusan Risiko & Integriti (JARI) MBI.
Jelasnya, Ketua JIG MBI juga telah mendapat pentauliahan daripada SPRM sebagai Certified Integrity Officer (CeIO) dan para pegawai juga mendapat latihan, didikan dan panduan daripada SPRM untuk menyediakan peraturan atau pemantauan.
"Terdapat jawatankuasa di peringkat pengurusan bagi setiap perolehan yang dianggotai oleh pelbagai wakil jabatan berkaitan. Seterusnya Jabatan Audit Dalaman yang akan membuat pengauditan proses tersebut mengikut perancangan audit.
"JIG MBI juga menerapkan nilai integriti di peringkat kakitangan MBI dan kumpulan syarikat dengan mengadakan program Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM Selangor, ceramah berkaitan Akta SPRM, pelancaran IG MBI, tazkirah dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu katanya, kesedaran masyarakat berkaitan isu rasuah semakin meningkat dan perlu ditambah baik agar tidak menular dalam komuniti.
"Rasuah ini ibarat pandemik, segala bentuk tindakan perlu diambil dengan betul untuk mengelak ia daripada berlaku dan merebak.
"Saya yakin jika semua berfungsi, kita bukan sahaja dapat menghapuskan dan mengurangkan kes-kes berprofil tinggi dan sensasi tetapi dapat menghapuskan budaya ini,” katanya.