LABUAN - Seramai 48 penduduk Kampung Rancha-Rancha Darat, di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka terjejas akibat banjir kilat.
Difahamkan, hujan berterusan sejak jam 7 malam Jumaat menyebabkan lapan rumah di kampung berkenaan dinaiki air sehingga ke paras pinggang.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.33 pagi dan seramai 15 anggota serta pegawai di kejar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, memang berlaku banjir di kawasan berkenaan sedalam paras pinggang dan melibatkan lapan rumah.
"Operasi memindahkan semua mangsa membabitkan 48 orang segera dilakukan dan semua mangsa ditempatkan di Dewan Ibu Pejabat JBPM Rancha-Rancha," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Menurut jurucakap, keadaan cuaca ketika ini masih lagi hujan dan ia berterusan sejak malam Jumaat.
Sehubungan itu, pasukan bomba akan sentiasa bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan jika ada lagi penduduk yang perlu dipindahkan.