PUTRAJAYA - Video tular yang menunjukkan proses vaksinasi ke atas remaja berusia 12 tahun menggunakan picagari kosong dikenal pasti berpunca akibat petugas kesihatan (penyuntik) tersalah ambil picagari yang masih belum digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan awal dilakukan ProtectHealth mendapati kejadian itu berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada jam 3.16 petang Rabu lalu.
Menurutnya yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I, picagari yang masih belum digunakan dan kosong itu diletakkan di ruangan meja sama dengan picagari berisi vaksin.
Katanya, petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan daripada botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan.
"Setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan itu meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.
"Bagaimanapun, dia tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dr Noor Azmi berkata, setelah petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.
Ujar beliau, kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja itu.
"Selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.
"Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan," katanya.
Dr Noor Azmi berkata, CITF-A amat kesal dengan kejadian berkenaan serta memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terbabit susulan kesulitan yang dihadapi.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan ketika bertugas atau 'human error', selain menjelaskan petugas kesihatan terbabit sudah diberi amaran supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur ditetapkan.
Tegasnya, prosedur dalaman juga sudah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja sama ketika memberi suntikan.
"Ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.