Usaha berterusan lindung kanak-kanak, wanita: Azalina

Iklan
Azalina Othman Said

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial akan berusaha secara berterusan terhadap perlindungan, pemeliharaan, kebajikan dan kepentingan yang terbaik untuk kanak-kanak dan wanita.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasil daripada mesyuarat pada 30 September, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyediakan kertas kajian yang memperincikan mekanisme Penubuhan Suruhanjaya Bebas Kanak-kanak (SBKK).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ahli jawatankuasa bersetuju untuk memberikan tempoh masa selama dua minggu untuk perkara tersebut diselesaikan sebelum dibawa semula ke dalam mesyuarat seterusnya.

"Selain itu, pembentangan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengenai status perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK) juga diadakan memandangkan peningkatan kes yang tinggi direkodkan di setiap negeri.

Iklan

"Saya selaku pengerusi dan beberapa ahli jawatankuasa akan memohon untuk membuat kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.

"Ini termasuk meningkatkan bilangan perjawatan khusus pegawai kehakiman gred Jusa C bagi Hakim Mahkamah JSKK, membangunkan kapasiti dan memperkuatkan kerjasama pelbagai agensi untuk mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, bagi wanita pula, Azalina berkata, satu pembentangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga telah dibentangkan semasa mesyuarat.

Tambah beliau, tiga jawatankuasa kerja telah dibentuk di bawah Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JMKRT) iaitu Jawatankuasa Advokasi dan Pembangunan Kapasiti, Perlindungan dan Data yang menjadi model yang baik dalam menampilkan sinergi antara agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat.

"Hala tuju penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memperhalusi tindakan dan mekanisme pelaksanaan serta pengendalian kes secara holistik dan efektif termasuk menambah baik aspek advokasi, perlindungan dan pelaporan data.

"Mesyuarat bersepakat untuk melibatkan ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial sebagai pemerhati di dalam JMKRT,” ujarnya.

Menurut Azalina, bagi mesyuarat yang akan datang Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial mencadangkan agar menjemput NGO dan pihak berkepentingan lain untuk turut hadir.

"​Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua ahli dan pihak yang terlibat serta hadir memenuhi jemputan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas. Semoga peranan dan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas akan diperkasakan dan dimartabatkan lagi,” katanya.