BEKAS pasangan suami isteri paling berpengaruh Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt akhirnya berjaya mencapai kata sepakat dalam hak penjagaan enam anak mereka selepas dua tahun gagal mencapai persetujuan.
Menerusi laporan Reuters, peguam Jolie, Samantha Bley DeJean dalam satu kenyataan berkata, persetujuan mengenai hak penjagaan anak itu dimeterai beberapa minggu lalu dan sudah ditandatangani kedua pihak serta hakim terbabit.
"Perjanjian itu yang berasaskan kepada saranan penilai membatalkan keperluan untuk sesi perbicaraan. Perincian mengenai perjanjian berkenaan tidak boleh didedahkan bagi melindungi kepentingan semua anak pasangan terbabit,” katanya.
Peguam Pitt bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.
Jolie dan Pitt, antara pasangan paling termasyhur di Hollywood dan pernah digelar 'Brangelina' berpisah pada September 2016 selepas lebih 10 tahun menjalinkan percintaan dan dua tahun sebagai suami isteri.
Jolie yang memfailkan perceraian memetik tiada persefahaman sebagai faktor dan menuntut hak penjagaan keenam-enam anak, tiga daripadanya anak kandung bersama Pitt manakala tiga lagi merupakan anak angkat mereka berdua.
Peguam Jolie tidak memperincikan kaedah pembahagian hak penjagaan itu dan jurucakap aktres terbabit enggan memberikan maklumat lanjut.
Bintang filem ‘Moneyball’, Pitt, 54 dan heroin ‘Maleficent’, Jolie, 43, mula menjalinkan hubungan pada akhir 2005 sebelum memutuskan untuk berkahwin pada tahun 2014.
Mereka adalah ibu bapa kepada Maddox, 17, Pax, 15, Zahara, 13, Shiloh, 12 serta pasangan kembar Knox dan Vivienna, 10. - Reuters