Peruntuk RM7.07 juta basmi rabies di Sarawak

Iklan

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak telah meluluskan peruntukan RM7.07 juta untuk program kawalan dan pembasmian rabies tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, kerajaan negeri serius dalam menghapuskan rabies dan telah menyediakan dana, kakitangan dan logistik yang diperlukan untuk memerangi penyakit itu.

Iklan
Iklan

Menurut Uggah, komitmen dalam mengawal dan menghapuskan rabies adalah keutamaan kerajaan negeri dan ia diletakkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan.

"Usaha mengawal rabies yang bersepadu dan kolaboratif di negeri ini juga telah meningkatkan kesedaran masyarakat bagaimana untuk mengenali dan bertindak balas terhadap ancaman rabies.

Iklan

"Kami juga melihat peningkatan pengurusan kes menerusi tindak balas pantas merentas sektor dan pengurusan kes gigitan yang bersepadu serta peningkatan vaksinasi rabies ke atas anjing secara besar-besaran yang mencapai lebih 70 peratus populasi anjing,” katanya dalam ucapan pada Hari Rabies Sedunia 2021 peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Iklan

Sementara itu, menurut Uggah, sejak rabies diisytiharkan sebagai wabak di Sarawak pada Julai 2017, sebanyak 33 jumlah kematian direkodkan dan ia dapat dielakkan sekiranya mereka tahu mengenai penyakit itu dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

"Kita boleh mengawal dan menamatkan rabies dalam kalangan populasi anjing. Setiap pemilik haiwan perlu bertanggungjawab menjaga kesihatan haiwan peliharaan mereka dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mendapatkan vaksinasi rabies.

"Jika anda digigit oleh anjing, lakukan langkah-langkah pertolongan cemas seperti mencuci luka gigitan dengan sabun dan air serta segera mendapatkan rawatan termasuk mengambil vaksin rabies selepas pendedahan kepada virus. Ini akan mencegah anda daripada mengalami gejala rabies,” katanya. - Bernama