37 pesakit Covid-19 dipindah ke Hospital Medan HPP

Iklan
Seramai 37 pesakit dipindahkan ke hospital medan di HPP sejak ia beroperasi seminggu lalu.

GEORGETOWN - Seramai 37 pesakit Covid-19 ditempatkan di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas seminggu hospital tersebut beroperasi.

Bagaimanapun, Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan, Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman berkata, tujuh daripadanya sudah mendaftar keluar (discharge).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua pesakit tersebut adalah pesakit peringkat empat dan lima.

"Sehingga tengah malam Jumaat, jumlah kumulatif pesakit yang dirawat di sini adalah 37 orang. Mereka terdiri daripada 21 pesakit lelaki dan 16 pesakit wanita berusia lingkungan 26 hingga 78 tahun.

Iklan

"Kesemua mereka adalah pesakit peringkat empat dan lima. Bagaimanapun, tujuh sudah keluar wad iaitu tiga lelaki dan empat wanita," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya, operasi hospital di lapangan tersebut berjalan lancar sejak beroperasi pada malam 24 September lalu.

Iklan

Hospital medan berkenaan sebelum ini telah beroperasi sepenuhnya pada jam 9 malam, 24 September lalu dengan pesakit pertamanya adalah seorang warga emas berusia 60 tahun.

Minggu sebelum itu, kerja pembinaan hospital lapangan berkenaan telah bermula pada jam 9.30 pagi di tapak parkir HPP di Jalan Residensi di sini dengan keluasan 2,300 meter persegi.

Sebanyak 100 katil yang dilengkapi sumber oksigen ditempatkan di hospital tersebut iaitu empat buah untuk unit rawatan rapi (ICU) dan bakinya untuk pesakit tahap empat.

ATM menggunakan empat pegawai dan 50 anggota untuk membina hospital medan dengan menggunakan 23 buah khemah di sini.

Sementara itu, untuk pengoperasian, ia melibatkan 309 petugas KKM, dua pegawai serta 22 anggota ATM.

ATM akan terlibat dengan kerja-kerja teknikal, keselamatan, pentadbiran dan perawatan di hospital medan yang mana, hospital tersebut adalah dikhaskan untuk pesakit Covid-19 peringkat empat dan lima.

Hospital medan di HPP itu merupakan hospital medan yang kesembilan dibina oleh ATM yang mana sebelum ini adalah di Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor, Labuan dan Tawau.

Hospital medan di HPP merupakan hospital medan ATM yang kedua di negeri ini selepas ia dibuka di Hospital Kepala Batas pada Mei lalu.