RANTAU PANJANG - Cubaan dua lelaki menyorokkan enam ekor kambing di belakang pacuan empat roda menggunakan kanvas bagi mengaburi mata anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan gagal apabila ditahan pada Jumaat.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan pihaknya semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di sini pada jam 9 malam.
"Semasa ditahan kedua-dua lelaki berusia 23 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkait dengan barangan mereka bawa," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang pacuan empat roda membawa kepada penemuan enam ekor kambing yang telah ditutup menggunakan kanvas plastik berwarna biru.
Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan dan kedua-dua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.
Azhari berkata, kes disiasat bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan serta kambing dianggarkan berjumlah RM127,500.
"PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan membuat pemantauan di pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor, Tumpat bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.
"Kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang dikesan terlibat dengan aktiviti tersebut," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan di Tumpat, Azhari berkata, PGA berjaya merampas 20,000 batang rokok putih selepas membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada Sabtu.
Beliau yang juga Pegawai Pemerintah Medan berkata, rampasan rokok putih berjumlah RM15,000 itu dilakukan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang membantu penugasan Op Benteng Covid-19 di kawasan Tumpat.
Katanya, semasa melakukan rondaan rutin pada jam 3.30 pagi, anggota bertugas telah ternampak sebuah kereta yang diparkir di tepi sebuah rumah tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan ke atas kereta itu membawa kepada penemuan rokok putih," katanya.