Garis panduan pengurusan kereta terbiar dilaksana Julai depan

Iklan

KUALA LUMPUR - Kereta terbiar tidak akan lagi menjadi satu masalah yang dihadapi orang ramai apabila Garis Panduan Pengurusan Kereta Terbiar dilaksana Julai ini, kata Kementerian Pengangkutan.

Menurut kenyataan kementerian itu malam ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membentangkan kertas kerja yang memberi garis panduan dan proses jelas dalam mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara.

Iklan
Iklan

"Garis panduan ini akan dibentangkan dalam Kabinet pada April depan dan akan disalurkan kepada kerajaan tempatan pada Jun sekiranya ia diluluskan.

"Garis panduan ini dijangka dikuatkuasa pada Julai dan keseluruhan proses daripada aduan sehingga pelupusan akan mengambil masa tidak lebih daripada 33 hari,” kata kenyataan itu.

Iklan

Menurut kenyataan itu, setakat ini, memang tiada garis panduan bagi menguruskan kereta terbiar dan apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerima aduan, ia akan mengambil masa selama satu tahun untuk memproses pelupusan kereta terbiar.

Dua lagi kertas kerja turut dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara kali pertama hari ini, yang dihadiri Exco-exco pengangkutan yang mewakili portfolio pengangkutan masing-masing dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Iklan

Turut dibentangkan kertas kerja mengenai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bagi mencetus persepsi positif melalui pencapaian objektif yang konsisten.

Ini bagi memastikan hala tuju pelaksanaan penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang lebih berkesan bagi memastikan keselamatan jalan raya lebih terjamin, kata kenyataan itu.

Kertas kerja mengenai tadbir urus dan model pembiayaan bagi pelaksanaan perkhidmatan bas henti-henti juga dibentangkan.

Menurut kenyataan itu, isu sering ditimbulkan berhubung bas henti-henti itu adalah peruntukan dana sokongan daripada kerajaan pusat untuk beroperasi tetapi subsidi diberikan meningkat dari tahun ke tahun namun kerajaan pusat tidak dapat menampung jumlah dana atau subsidi yang besar.

Oleh itu, kerajaan sedang berbincang dengan pihak kerajaan negeri dan konsultasi, di mana kerajaan pusat cuba mengasingkan kuasa mengenai bas henti-henti itu di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Antara cadangannya adalah memberi kuasa kepada kerajaan negeri membangunkan rangkaian laluan bas henti-henti sendiri kerana mereka lebih arif dengan kawasan yang berpotensi selain memberi kuasa kepada kerajaan negeri melantik operator-operator bas di negeri masing-masing, menurut kenyataan itu. – Bernama