KUALA NERANG – UMNO berharap kepimpinan parti peringkat negeri di Melaka memiliki kolaboratif yang baik antara kerajaan dan pembangkang seperti yang dimeterai di peringkat Pusat menerusi memorandum persefahaman.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan kemelut politik yang dikaitkan dengan dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri Melaka diterajui UMNO ketika ini.
Menurutnya, bagaimanapun, buat masa ini, UMNO Pusat menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan negeri diterajui Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menguruskan kemelut bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.
"Sekarang ini, macam-macam adu domba. Saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan peringkat negeri untuk uruskan, diharap pemimpin terlibat dapat memikirkan penyelesaian terbaik untuk kekalkan kerajaan negeri sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bas tambahan MARA Liner di Kuala Nerang, pada Sabtu.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan negeri Melaka didakwa akan tumbang pada bila-bila masa.