SINGAPURA - Singapura akan mengurangkan tempoh kuarantin Covid-19 daripada 14 hari kepada 10 hari untuk pengembara yang tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi bermula 7 Oktober 2021.
Sejak akhir Jun 2021, republik ini mewajibkan pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan di negara atau wilayah berisiko tinggi, kategori III dan IV untuk mematuhi Notis Duduk di Rumah (SHN) 14 hari.
Malaysia adalah satu daripada negara di bawah Kategori IV.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) republik itu turut menyemak semula peraturan mengenai sejarah perjalanan daripada 21 hari kepada 14 hari bermula 7 Oktober dan tempoh itu termasuk transit dalam perjalanan ke Singapura dan tempoh berada di Singapura sebelum perjalanan mereka.
Namun, ini tidak termasuk perjalanan di bawah Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura.
Menurut MTF pengembara perlu menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) semasa ketibaan dan pada hari ke-10 serta ujian Antigen Rapid Test (ART) kendiri pada hari ketiga dan ketujuh.
SHN tamat apabila keputusan PCR negatif.
Bayaran untuk SHN 10 hari di kemudahan khas adalah S$1,450. -Bernama