LIVERPOOL dijangka berdepan tugas sukar dalam usaha untuk meraih kemenangan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bertemu Manchester City di Anfield pada Ahad.
Pengendali Liverpool Jurgen Klopp berkata, City ketika ini disifatkannya antara pasukan terbaik di Eropah dan perlawanan tersebut bakal menjadi aksi sengit buat kedua-dua pasukan.
"Manchester City bagi saya adalah pasukan terbaik di Eropah ketika ini. Minggu lepas mereka menentang Chelsea dan nampak mereka sangat bagus dan pasukan itu yang akan kami lawan.
"Kami perlu menjaringkan gol kerana ia akan membantu dalam perlawanan itu. Namun, dalam masa sama kami perlu bertahan dengan sangat baik. Kami perlu berani dan berada pada tahap terbaik untuk memastikan peluang kemenangan.
"Apa yang kami lakukan minggu lalu (seri 3-3 menentang Brentford) dan beberapa hari lalu (membelasah Porto) bagi saya adalah sesuatu yang baik tetapi kami memerlukan bola sepak yang lebih kompleks.
"Kami mempunyai pandangan positif tetapi kami tahu belum menentang City lagi. Ia akan menjadi perlawanan yang istimewa," katanya.
The Reds menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam saingan EPL musim ini, namun akan berdepan tugas sukar untuk melebarkan keputusan tanpa kalah itu ketika berdepan City.
Malah, pertemuan terakhir menentang City juga tidak memihak Liverpool apabila mereka tewas pada Februari lalu.
"Kami perlu bertahan sebagai satu unit. Ia akan menjadi perlawanan sukar dan kualiti individu akan memainkan peranan untuk kedua-dua pasukan dan saya harap ia cukup baik untuk kami.
"Saya mahu pemain bermain dengan perlawanan terbaik musim ini," kata Klopp.