PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan keputusannya untuk tidak menurunkan penyerang, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama ketika berdepan Everton di Old Trafford pada Sabtu.
Menurut Solskjaer, dia juga tidak kesal membuat keputusan sedemikian walaupun skuad The Red Devils itu gagal mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri apabila terikat 1-1 dengan The Toffees.
"Keputusan itu (tidak menurunkan Ronaldo) adalah keputusan daripada saya sendiri. Bagi saya, ia adalah keputusan yang betul.
"Keputusan ini dibuat bagi mengimbangi atau menguruskan beban ‘kerja’ yang ditanggung pemain dan saya telah membuat keputusan yang betul tidak menurunkannya (Ronaldo) dan memasukkannya hanya sebagai pemain gantian.
"Pada perlawanan itu, Anthony Martial telah beraksi dengan baik dan dia telah menjaringkan gol yang agak baik dan begitu juga dengan (Edinson) Cavani,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Martial membuka jaringan pada minit ke-43 namun pemaain sayap Everton, Andros Townsend menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Ronaldo yang dimasukkan pada minit ke-57, dilihat turut gagal memberikan impak pada perlawanan berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan United kini berada pada kedudukan ketiga manakala Everton (kelima) dengan masing-masing mengumpul 14 mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.
Sementara itu Solskjaer mengakui kecewa dengan aksi yang dipamerkan pemain gantian Jadon Sancho pada perlawanan berkenaan, terutamanya pada penghujung perlawanan yang menyaksikan Everton hampir menjaringkan gol kedua.
Malah menurut Solskjaer, dia turut menemui Sancho bagi memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda berkenaan setelah wisel penamat.
"Saya telah pun menemuinya dan memberikannya sepatah dua kata-kata semangat terutamanya untuk sentiasa berhati-hati tidak melakukan kekasaran sewenang-wenangnya.
"Saya yakin dia akan megikuti kata-kata saya dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa hadapan,” katanya.