Bot karam: sembilan pemancing berjaya diselamatkan

Iklan

KUCHING - Sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Pulau Satang, di sini pada Sabtu, berjaya diselamatkan awal pagi Ahad.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, sembilan mangsa tersebut diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar pada sekitar 1 pagi.

Iklan
Iklan

"Sembilan mangsa tersebut telah selamat tiba di jeti Telaga Air dan telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Satu mangsa lagi masih hilang dan pencarian masih diteruskan hari ini,” katanya.

Iklan

Seramai 10 pemancing dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika dari perairan Pulau Satang, di sini tengah hari Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa telah diaktifkan pada 12 tengah hari Sabtu setelah pihaknya menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu. - Bernama

Iklan