DUNGUN - Pelajar tingkatan lima dan enam yang memulakan sekolah di Terengganu pada Ahad meluahkan rasa syukur kerana dapat menghilangkan rasa rindu untuk belajar secara bersemuka dengan guru setelah sekian lama menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, Firdaus Hakimi Zulkifli, 17, berkata dia teruja untuk kembali ke sekolah kerana dapat bertemu rakan dan guru.
"Selama ini saya agak sukar untuk belajar kerana tidak begitu biasa dengan PdPR. Sebab itu saya berharap proses pembelajaran secara bersemuka ini dapat berterusan dan kes Covid-19 dibendung sepenuhnya," katanya yang berasal dari Kerteh, Kemaman.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Alya Abdah Sidik, 17 yang berasal dari Paka berkata, dia teruja untuk kembali ke sekolah kerana mahu belajar secara bersemuka.
"Jujur saya katakan saya amat teruja kembali ke sekolah untuk bertemu guru dan rakan-rakan. Selama ini saya agak sukar dan tidak biasa melalui sesi PdPR.
"Apabila dapat jumpa guru, lebih mudah untuk saya bertanya masalah pelajaran yang saya kurang faham. Saya akui memang teruja dan rasa sangat gembira serta berdoa agar pandemik Covid-19 ini segera berakhir," katanya.
Bermula Ahad sebahagian daripada murid di Terengganu, Kelantan dan Langkawi telah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka.
Hanya murid pra sekolah dan murid bekeperluan khas atau MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mula bersekolah di sekolah rendah di Terengganu.
Bagi sekolah menengah pula melibatkan pelajar tingkatan enam semester dua, murid bekeperluan khas di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) atau Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid kelas peperiksaan antarabangsa dan murid kelas peperiksaan awam.
Di Kelantan, persekolahan bagi sekolah rendah hanya melibatkan MBK di Sekolah SKPK dan PPKI manakala murid-murid lain masih meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Bagi sekolah menengah di Kelantan pula hanya melibatkan pelajar tingkatan enam semester dua, murid bekeperluan khas di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) atau Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang memulakan sesi persekolahan hari ini.