JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti untuk membantu anggota dan pesara polis yang dibelenggu masalah hutang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, satu kajian akan dilakukan bagi mendapatkan jumlah anggota terlibat dan jenis bantuan yang bersesuaian.
"Bentuk bantuan adalah kepada dua golongan iaitu pesara polis dan anggota asnaf yang masih bertugas.
Anggota asnaf ini mempunyai gaji kecil dan terlibat dalam hutang yang tinggi.
"Sebagai contoh, anaknya mahu pergi belajar, dia akan membuat hutang.
Begitu juga apabila berlaku musibah, dia berhutang.
Bila ada hutang dan gaji kecil, jadi kita akan lihat keadaan mereka itu.
"Langkah untuk membantu mereka ini dilakukan kerana PRDM sentiasa menjaga kebajikan anggotanya dan tidak mahu melakukan perkara yang tidak sewajarnya," katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Gerakan Am Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mazlan berkata, perkara itu akan dilaksanakan dengan teliti dan serius agar anggota polis mempunyai hutang yang tinggi tidak terjebak dengan perkara tidak diingini.
"Kita kena perhalusi betul-betul sebab apa mereka berhutang.
Mereka tidak sepatutnya berhutang untuk perkara tidak sewajarnya seperti membeli kereta besar.
"Kita kena lihat dari segi kebajikan mereka supaya boleh dibantu," jelas beliau.
Mazlan sebelum itu menyampaikan sumbangan kebajikan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWF) kepada 20 pesara kontinjen polis Johor.
Mazlan berkata, sejumlah 887 pesara asnaf telah menerima sumbangan TAWF membabitkan jumlah RM1.59 juta antara Januari dan Mei lalu.