MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pada pagi Ahad.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, Amirudin berkata, sewaktu memegang portfolio sebagai Exco Sukan Selangor, beliau banyak berurusan dengan Allahyarham yang sentiasa mengamalkan sikap kerjasama dan profesionalisme tinggi.
Menurutnya, bidang sukan tanah air kini kehilangan seorang tokoh yang mempunyai semangat dan minat jitu dalam pembangunan belia serta sukan.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
"Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat Allahyarham," katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Allahyarham Zolkeples dilaporkan meninggal dunia di kediamannya pada pagi Ahad dipercayai akibat sakit jantung.
Polis turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah melibatkan kematian Allahyarham.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pemeriksaan di tempat kejadian dan tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
Malah, tiada kesan pecah masuk atau pergelutan ditemui di tempat kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia