KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Zolkples dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.
Zolkples pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN selama tujuh tahun sejak April 2007 sehingga Disember 2014 selain pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.
Allahyarham ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah pagi Ahad. - Bernama