RM150 juta laksana program pemodenan vesel

Iklan
Ahmad Tarmidzi (dua dari kiri) melawat Limbungan Kapal Syarikat DK Naval Technologies di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perikanan memperuntukkan RM150 juta bagi melaksanakan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, sebanyak 161 syarikat vesel tempatan akan menerima manfaat pelaksanaan program berkenaan.

Iklan
Iklan

"Program ini merupakan inisiatif Dasar Jaminan Makanan (DJM) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang dibahagikan kepada empat zon.

"Menerusi program ini, syarikat vesel ditawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan kadar faedah antara 3 hingga 3.5 peratus untuk tempoh 10 tahun," katanya selepas melawat Limbungan Kapal Syarikat DK Naval Technologies di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Ahmad Tarmidzi berkata, program bertujuan membangunkan industri perikanan pantai dengan memberi peluang nelayan tradisi menaik taraf dan memodenkan vesel, memasang peralatan efisien dan pertingkat aspek keselamatan.

Iklan

Katanya, program itu juga dapat meningkatkan hasil tangkapan dan mengurangkan kebergantungan penggunaan kru warga asing di atas vesel.

Menurutnya, penggunaan mekanisme moden di atas kapal nelayan boleh mengurangkan tenaga manusia yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengusaha.

Sementara itu, Samsolbari berkata, usaha pemodenan vesel itu akan melonjakkan aktiviti nelayan ke tahap yang lebih tinggi.

"Johor sebagai negeri yang mempunyai garis pantai terpanjang sewajarnya mempunyai aktiviti perikanan lengkap selain dibantu dengan pelbagai aktiviti rantaian yang turut memberi nilai tambah," katanya.