DUNGUN - Pas menyifatkan perbincangan Perikatan Nasional (PN) mengenai agihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan tindakan gopoh kerana sudah tiba masanya perkara itu diteliti bersama.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu tepat pada masanya kerana tempoh yang ada kurang setahun sebelum PRU15.
"Isu perbincangan agihan kerusi ini berpanjangan. Bagi saya perbincangan itu mengambil masa. Pihak lain tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.
"Tambahan pula, masanya sudah tiba. Saya tidak rasa kita gopoh malah perkara ini juga tidak juga terlalu cepat untuk dibincangkan kerana sudah lebih tiga tahun PRU14 berlalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak Pasaraya Wakaf Ummah pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas yakin dapat mengekalkan kerjasama dengan UMNO walaupun perkara itu sudah dimuktamadkan untuk tidak berlaku.
Katanya, dalam politik sebarang kemungkinan boleh berlaku malah situasi itu boleh berubah.
"Politik ini tidak ada simpul mati dan serba mungkin. Tentunya kita tidak sanggup mendedahkan kepada situasi kekalahan malah saya yakin semua orang mahu mengelak pertandingan tiga penjuru,” katanya.
Jumaat lalu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempersoal tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal membincangkan persiapan PRU15 termasuk pembahagian kerusi kerana tarikh pilihan raya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri dan bukan ketua parti.
Muhyiddin sebelum itu berkata, perbincangan mengenai agihan kerusi yang akan dilakukan minggu hadapan hanya melibatkan tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) di samping komponen lain di Sabah serta Sarawak.