DUNGUN - Menyokong penyandang kerusi merupakan formula yang akan digunakan Pas sekiranya berlaku pertembungan kerusi antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli dan penyokong Pas tetap dengan pendirian untuk memberikan sokongan penuh kepada parti, UMNO dan Bersatu serta mengekalkan kerusi ketiga-tiga parti berkenaan.
"Pas akan mengundi penyandang kerusi sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara UMNO dan Bersatu pada hari pembuangan undi. Jika pada PRU14, kerusi itu milik UMNO, kita akan sokong UMNO dan begitulah sebaliknya kalau milik Bersatu, kita akan sokong Bersatu.
"Secara asasnya, muafakat politik yang kita jalinkan adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru," katanya ketika ditemui pemberita di tapak Pasaraya Wakaf Ummah di sini pada Ahad.
Mengakui tidak dapat mengelak daripada berlakunya pertembungan tiga penjuru, Tuan Ibrahim berkata, ia akan cuba diminimumkan kerana berisiko mengundang kekalahan kepada kerajaan sedia ada.
"Saya jangka situasi itu akan ada cuma sedikit. Jika berlaku, kita tidak boleh berbuat apa-apa.
"Namun saya yakin semua orang sudah menyenangi kerajaan sedia ada dan tidak mahu Pakatan Harapan (PH) menang,” ujar beliau.