Tangani dasar kabotaj secara profesional

Iklan
Abdul Hak

KALANGAN peserta industri maritim dan pemilik kapal Malaysia percaya sebarang percanggahan pandangan mengenai dasar kerajaan berkaitan dengan dasar kabotaj sewajarnya diketengahkan secara profesional.

Pengerusi Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin berkata, pihaknya secara tegas dan jelas tidak bersetuju dengan kenyataan tidak wajar berhubung dasar kabotaj kerajaan bagi kapal asing yang melakukan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Iklan
Iklan

"Malaysia merupakan antara 100 negara di dunia yang mengamalkan dasar ini dan MASA berdiri teguh di belakang Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam tindakan tegasnya untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dilindungi menerusi penguatkuasaan ketat dasar kabotaj,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dasar kabotaj dianggap sebagai langkah pertama ke arah membentuk penyetempatan.

Iklan

"Semua pihak kini perlu mula menyusun pendekatan baharu untuk membantu peserta industri maritim dan keseluruhan pengurusan rantaian bekalan.

"Ini untuk membantu peserta industri maritim dan keseluruhan pengurusan rantaian bekalan yang menyedari risiko berkaitan ancaman ekonomi global baharu seperti Covid-19 dan pandemik lain yang mungkin berlaku,” katanya.

Iklan

Abdul Hak berkata, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan perlu menekankan pelaksanaan oleh pihak tempatan dan menjadikannya syarat mandatori.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN), Dr Renco Yong berkata, pihaknya menyokong penuh Menteri Pengangkutan dalam pendiriannya mendukung dasar kabotaj supaya dikuatkuasakan dengan ketat.

"Ini sekali gus akan memastikan kemampanan industri maritim tempatan," katanya dalam kenyataan yang sama.

Presiden Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL), Kapten Zuradi Zainol Abidin juga menyuarakan nada yang sama dengan berkata sebarang pertikaian mengenai dasar kabotaj perlu diselesaikan menerusi perbincangan bijak dan rasional.