Pemain negara telah beri permainan sepenuh jiwa

Iklan
FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM

PRESTASI pemain-pemain muda negara pada kejuaraan Piala Sudirman secara keseluruhan membanggakan walaupun perjuangan tersekat di separuh akhir apabila tewas 1-3 kepada Jepun pada Ahad.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, pemain-pemain telah memberikan aksi terbaik sepanjang kejuaraan itu hingga ke separuh akhir.

Iklan
Iklan

"Kesemua pemain-pemain telah memberikan permainan sepenuh jiwa dalam setiap perlawanan demi menyumbang kemenangan kepada negara.

"Ia juga menyerlahkan lagi potensi yang dimiliki skuad negara ketika ini walaupun diwakili ramai pemain muda dan mereka telah bersedia untuk mengharungi Piala Thomas dan Uber tidak lama lagi walaupun kebanyakannya beraksi kali pertama.

Iklan

"Secara tidak langsung pemain juga telah membuktikan bahawa mereka boleh pergi lebih jauh pada masa dalam kejuaraan yang kompetitif,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada aksi berdepan Jepun itu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas 15-21, 14-21 kepada beregu ranking ke-16 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebelum perseorangan wanita negara, S Kisona tewas 7-21, 5-21 kepada pemain ranking kelima dunia, Akane Yamaguchi.

Iklan

Bagaimanapun, ketua pasukan yang juga jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menghidupkan semula peluang skuad negara apabila menumpaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota 22-20, 21-19.

Namun selepas itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah terpaksa akur kepada kehebatan gandingan Mahu Matsumoto-Misaki Matsumoto apabila tewas 19-21, 17-21.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pencapaian negara pada kejuaraan Piala Sudirman ternyata membanggakan.

Malah katanya, semua pemain telah menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bakal muncul sebagai pemain digeruni di persada badminton pada masa depan.

"Sebagai sebuah pasukan muda, pencapaian mereka ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan kerana walaupun muda, tetapi mereka mahu tunjukkan bahawa mereka bakal muncul sebagai bakal digeruni di persada badminton dunia.

"Selain itu, ia adalah hasil program pembangunan pemain yang kita lakukan sejak dua hingga tiga tahun lalu telah mula menunjukkan hasil; sebagai contoh tiga pemain awal kita seperti gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, S Kisona dan Lee Zii Jia adalah antara pemain yang berjaya kita lahirkan.

"Begitu juga dengan pemain lain dan saya suka tengok kemunculan pemain-pemain ini di semua department termasuk di peringkat pelapis kita sudah ada pemain yang dilihat sedia memikul tanggungjawab mereka di pentas antarabangsa,” katanya.