Perubahan iklim jejas sekuriti makanan negara: Pakar

Iklan
Sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan. Gambar hiasan 123rf.

KUALA LUMPUR- Musim kedua penanaman padi di Tanjung Karang pada Julai lepas, tidak seperti yang diharapkan pesawah apabila cuaca panas yang dijangka tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hujan lebat melanda dengan kerap.

Akibatnya, beberapa kawasan tanaman padi di utara Selangor itu ditenggelami air dan merosakkan anak benih padi yang menyebabkan pertumbuhannya terbantut, bermakna hasil yang dijadualkan dituai pada November ini juga akan merosot.

Iklan
Iklan

Ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim ini bukan hanya melibatkan Tanjung Karang dan kawasan berhampiran seperti Sekinchan hingga Sabak Bernam yang bersempadan dengan Perak, tetapi berlaku di seluruh negara.

Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.

Iklan

Menurut seorang pesawah, Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, perubahan cuaca mula memberi kesan kepada tanaman padinya sejak 10 tahun lalu, namun semakin kerap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya paling buruk ialah pada musim penanaman tiga tahun lepas apabila kawasan itu dilanda musim panas yang berpanjangan dan membantutkan tumbesaran benih padi, sekali gus hasil tuaian juga berkurangan.

Iklan

"Cuaca sekarang sudah tidak terjangka. Musim tengkujuh contohnya yang biasa berlaku pada hujung bulan 11 (November), tapi tahun ini bulan September hujan turun dengan kerap dan lebat berserta ribut.

"Apabila air laut pasang, banjir berlaku sehingga sawah ditenggelami air dan tanaman padi banyak yang rebah disebabkan ribut kuat," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dia yang mengusahakan kira-kira 12 hektar sawah warisan keluarganya sejak 15 tahun lalu, berkata pendapatannya merosot hampir 60 peratus semusim sejak tiga tahun lepas.

Kemerosotan pendapatan itu bukan sahaja disebabkan penurunan hasil tuaian tetapi juga kerana gred padi yang rendah selain terpaksa mengeluarkan modal lebih besar bagi menangani kesan perubahan cuaca, sama ada cuaca panas dan kemarau atau hujan lebat.

"Ketika El Nino yang menyebabkan panas melampau, air terpaksa dipam ke sawah bagi memastikan keperluan air mencukupi untuk padi membesar dan mengeluarkan hasil yang baik, manakala apabila hujan lebat dan banjir, pesawah terpaksa pula mengeluarkan modal baharu untuk (menggantikan) anak benih yang rosak bagi penanaman semula.

"Perubahan cuaca yang berlaku ini juga menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang sebelum ini tidak pernah ditemukan. Penyakit baharu ini pula mempunyai daya tahan sangat tinggi dan ini memerlukan pelaburan yang besar untuk racun perosak," jelasnya.

Masalah sama turut dihadapi Suhaili Samsuri, 40, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.

Menurutnya, sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.

"Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.

"Makhluk perosak baharu juga turut datang bersama perubahan cuaca ini dan merebak terlalu cepat dari satu lot ke lot lain, sekali gus menjadi punca kos racun turut meningkat hingga 30 peratus," katanya.

Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga sekarang, menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan, sekali gus mengancam jaminan makanan yang telah mula menunjukkan kemerosotan.

Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas. Namun hingga kini masih belum nampak usaha dan tindakan serius diambil oleh beberapa kuasa besar yang boleh menghasilkan perubahan positif dalam isu iklim, sepertimana termaktub dalam pelbagai perjanjian pengurangan kesan GHG.

Ini bermakna negara perlu bersedia dengan langkah-langkah lebih efektif termasuk dasar kerajaan bagi mengurangkan kepelbagaian ancaman akibat perubahan iklim yang tidak terduga, kata Dr Saiful Irwan Zubairi, pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia, terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.

Topik ini menjadi isu yang hangat kebelakangan ini bersandarkan kepada model pembuktian kesan gas rumah hijau semasa dan masa depan, antaranya Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 yang menjangkakan suhu permukaan bumi meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.

Jangkaan itu berdasarkan elemen pemodelan hierarki terkini iaitu Earth System Models of Intermediate Complexity dan Atmosphere-Ocean General Circulation Models (AOGCMs).

"Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor agrikultur, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.

"Perubahan corak cuaca boleh memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran makanan dan sumber hasilan agrikultur yang mana perubahan suhu yang terjadi secara langsung memberi kesan kepada struktur habitat, bekalan makanan dan keberadaan sumber sedia ada," katanya kepada Bernama.

Antara perkara utama dalam perubahan iklim ialah jangkaan peningkatan paras air laut yang akan menenggelamkan tanah agrikultur yang subur di kawasan yang berada di bawah paras laut seperti Belanda dan Jakarta, Indonesia.

Namun, data terkini cerapan perubahan imbangan jisim ais di Artik (Ogos, 2021) yang dikeluarkan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menunjukkan julat pencairan dan pembentukan ais adalah stabil sejak ia dicerap pada 2002.

"Indikator ini belum menunjukkan sebarang kesan besar perubahan iklim semasa dunia dan kerana itu ia wajar diambil perhatian serius dalam persediaan rapi menghadapi krisis bencana alam pada masa hadapan," katanya.

Pakar bidang teknologi makanan itu juga menjelaskan peningkatan suhu dunia akan memberikan tiga peringkat impak terhadap jaminan makanan iaitu impak berterusan, sementara dan kekal.

Impak berterusan akan menyebabkan perubahan hasil akibat peningkatan tahap air masin di kawasan berdekatan pesisir pantai yang kebanyakannya perkampungan nelayan, manakala impak sementara akan meningkatkan kegagalan penuaian disebabkan corak cuaca yang ekstrem sehingga mempengaruhi kemunculan makhluk perosak dan wabak penyakit yang tidak terjangka akibat perubahan mendadak.

Impak kekal pula adalah kehilangan tanah kekal dan tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh kenaikan paras laut, katanya.

"Ekosistem marin juga akan turut terancam disebabkan faktor-faktor perubahan iklim persekitaran seperti peningkatan suhu dan kemasinan air laut yang mengganggu kestabilan ekosistem dan rantaian pemakanan kompleksnya," kata beliau.

Selain itu, perubahan iklim juga akan memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Oleh itu, pembuat dasar sedia ada bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran yang tidak terjangka dalam menilai dan memperhalusi ancaman yang akan terjadi bagi memastikan jaminan makanan kekal konsisten.

Namun, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah drastik untuk jangka panjang dan pendek. Contohnya untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenalkan geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.

Untuk jangka pendek pula, adalah amat penting bagi kerajaan memperhebat kempen gaya hidup dan diet pemakanan alternatif dan mampan bagi mengurangkan lagi kesan GHG yang kian meningkat.

"Pengambilan diet yang sihat dan mampan antaranya ialah pengambilan sumber bijiran, buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.

"Proses mitigasi perubahan diet sebegini bergantung sepenuhnya pada pilihan pengguna dan tahap kesedaran mereka terhadap isu ini," katanya.

Semua ini sangat bergantung pada dasar semasa kerajaan berdasarkan kepada tahap kehidupan sosial masyarakat, budaya, alam sekitar, faktor tradisi dan keupayaan sumber pendapatan semasa penduduk, jelas beliau. - Bernama