KPKT cadang perkenal skim bantuan bayaran rumah sewa

Iklan
Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperhalusi cadangan untuk mewujudkan skim bantuan bayaran rumah sewa atau 'rent voucher'.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, skim itu bertujuan untuk membantu golongan B40 yang terbeban dengan pembiayaan sewaan rumah khususnya semasa pandemik Covid-19 ini.

Iklan
Iklan

"Skim ini sedang diperhalusi dan akan diumumkan sebaik sahaja telah mendapat kelulusan kerajaan.

"Kerajaan amat memahami bantuan yang diperlukan oleh segolongan rakyat terutamanya rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datin Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang meminta kementeriannya menyatakan usaha kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk membayar sewa rumah susulan ramai yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail turut memberitahu, KPKT memberi penangguhan sewa selama 21 bulan bermula Mac 2020 hingga Disember 2021 bagi Projek Perumah Rakyat (PPR) Sewa Untuk Dimiliki (RTO) di bawah pengurusan kementeriannya.

Iklan

Katanya, penangguhan itu membabitkan 10 projek PPR membabitkan 4,650 unit rumah.

"Ini antara inisiatif KPKT dalam membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membayar sewa rumah," katanya.