Murid pendidikan khas gembira kembali ke sekolah

Iklan
Kamel beramah mesra bersama seorang murid SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh pada Isnin.

MELAKA - Pelbagai ragam mewarnai hari pertama persekolahan membabitkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh, di sini pada Isnin.

Ibu kepada murid PPKI, Marhani Che Mohd Salleh, 46, berkata, anaknya yang dikategorikan autisme teruja dan gembira akan bersekolah semula.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak tiga hari lalu dia telah memberitahu anaknya sebagai persediaan awal memandangkan anaknya yang berusia tujuh tahun itu sebelum ini hanya sempat bersekolah selama dua minggu.

"Bila anak bangun tidur kami bertepuk tangan untuk berikan semangat agar dia terus ceria hingga sepanjang di dalam kereta.

Iklan

"Cuma bila sampai depan pintu sekolah dia sedikit terkejut sebab lihat ramai orang dan mahu balik, namun bila diberikan penerangan dia faham dan masuk terus ke sekolah," katanya.

Bapa, Mohd Ilham Iberahim, 40, mengakui anak sulungnya berusia lapan tahun juga teruja untuk kembali bersekolah.

Iklan

Menurutnya, dalam keterujaan itu anaknya ada juga meluahkan rasa berdebar sebab telah beberapa bulan tidak menjejak kaki ke sekolah lebih-lebih lagi baru bertukar ke sekolah itu.

"Sebagai bapa, saya terus berikan kata-kata semangat agar dia tidak takut dan keadaannya baik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, seramai 3,000 pelajar dan murid memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri ini pada Isnin.

Menurutnya, bilangan itu membabitkan 40 sekolah menengah dengan seramai 1,400 pelajar manakala 105 sekolah rendah dengan kehadiran seramai 1,600 murid.

Malah katanya, sesi belajar secara bersemuka juga membabitkan murid pendidikan khas dan pelajar Tingkatan Enam Semester Dua.

"Tahniah kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang membuat persiapan serta persediaan bagi membolehkan sesi persekolahan dibuka," katanya.